Blogger Widgets

Sunday 22 January 2012

KOMSAS TINGKATAN 2 NOVEL ...LESTARI BUKIT MENGHIJAU...

LESTARI BUKIT MENGHIJAU

Sinopsis
 Kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai menimbulkan kecurigaan penduduk kampung. Dia dianggap gila kerana membeli bukit yang penuh dengan hutan belantara. Bukit tersebut dianggap tidak berfaedah oleh penduduk kampung. Pak Tua terlalu mencintai alam sekitar sehingga menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan penduduk kampung. Dia akan menegur sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok. Hubungan Pak Tua dengan penduduk kampung tidak mesra, dia tersisih kerana sikapnya yang pendiam, suka memencilkan diri dan tidak mesra.
 Zahiran sebagai pelajar Tingkatan (this is copy paste)3 di kampung tersebut berjaya mendekati lelaki misteri ini dalam usaha menjayakan projek sekolah lestari. Projek sekolah lestari telah diilhamkan oleh Cikgu Idham, pengetua baharu di SMK Alor Rambai yang proaktif dalam menceriakan kawasan sekolah. Zahiran dan rakan-rakannya telah ditugaskan untuk mencari beberapa jenis burung dan ikan untuk menghiasi taman sekolah mereka. Projek sekolah lestari ini adalah sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Pelajaran yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.
  Hasil usaha Zahiran dan rakan-rakannya, Pak Tua mula diterima oleh penduduk kampung. Hamzah yang diserang demam kuning menjadi titik permulaan kepada usaha gotong-royong bagi membersihkan kawasan rumah Hamzah yang kotor dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Seluruh kampung turut dibersihkan. Hasil cetusan idea Pak Tua, Tabung Pak Hamid dilancarkan bagi membantu keluarga malang itu. Penyakit untut Pak Hamid berjaya dirawat setelah menjalani pembedahan di Hospital Appolo, Chennai, India.           
Tragedi pokok Bintangor yang terbakar membolehkan Zahiran mencungkil sejarah hidup Pak Tua, iaitu seorang saintis yang pernah tinggal di Chicago, Amerika Syarikat. Isteri Pak Tua, Kamariah dan dua orang anaknya Zahirah dan Zuwairah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kedua-dua orang anaknya meninggal dunia, manakala isterinya menderita penyakit HIV akibat pemindahan darah. Kamariah meninggal dunia sewaktu Pak Tua dan rakan-rakannya telah berjaya dalam usaha mengumpul sampel untuk penawar HIV.  Pokok bintangor spesies calophyllum leanigerum merupakan estrak penting dalam menghasilkan penawar HIV.  Pokok ini banyak terdapat di belantara negeri Sarawak dan Pak Tua telah berusaha menanam pokok bintangor di sekitar Bukit Bintangor. 
  Akhirnya, Pak Tua telah menghembuskan nafas terakhir setelah dia mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.  

Tema
Kepentingan menjaga alam sekitar.  Pak Tua sangat mencintai alam sekitar sehingga dia sanggup membeli bukit yang dipenuhi hutan belantara.  Dia melarang sesiapa sahaja yang cuba menebang pokok.  Dia juga menangis apabila pokok bintangor kesayangannya terbakar.

Persoalan
1.    Persoalan cinta akan alam sekitar. 
Pak Tua amat mencintai alam sekitar hingga sanggup membeli sebuah bukit seluas empat hektar  yang dipenuhi belantara.  Kawasan bukit ini ditanami dengan pokok bintangor.
2.    Persoalan menjaga kebersihan kawasan persekitaran.
Penduduk Kampung Alor Rambai telah membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi mengelakkan penyakit-penyakit bawaan nyamuk.
3.    Persoalan peranan pelajar menjayakan sesuatu projek sekolah. 
Zahiran dan rakan-rakannya berusaha mencari burung dan ikan untuk menjayakan projek sekolah lestari.
4.    Persoalan mempercayai kepercayaan karut. 
Pak Hamid mempercayai  khidmat dukun Lebai Deraman yang mengubati anaknya, Hamzah.  Hamzah dikatakan demam biasa akibat ditegur hantu tanah.
5.   Persoalan para saintis membuat kajian menghasilkan perubatan moden. 
Pak  Tua dan rakan-rakannya berjaya menghasilkan penawar HIV daripada ekstrak pokok bintangor spesies calophyllum lanigerum.
6.   Persoalan sumber alam yang boleh memberikan manfaat kepada manusia.
      Sumber alam seperti pokok bunga cempaka putih boleh mengubati bisul. kudis dan
      radang tengkuk; daun pokok kacang kelor berkhasiat membantu membersihkan darah,  
      mengurangkan kandungan gula dan mengawal tekanan darah di dalam badan.

 Plot
Novel ini dibina mengikut kronologi dari awal hingga akhir.
Permulaan
Dimulakan dengan kehadiran Pak Tua di Kampung Alor Rambai telah menimbulkan pelbagai prasangka penduduk kampung terhadapnya. Keputusan Pak Tua membeli bukit seluas empat hektar (bukit bintangor) menyebabkan penduduk kampung menganggapnya sebagai tidak waras. Zahiran cuba mendekati Pak Tua yang tinggal di kaki Bukit Bintangor.
Perkembangan
Cikgu Idham mencetuskan idea untuk mengadakan projek sekolah lestari dan berhasrat menyertai pertandingan Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar anjuran Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Pelajaran.  Zahiran dan rakan-rakannya ditugaskan menangkap burung dan ikan, serta mencari pelbagai jenis pokok bunga.   Secara tidak langsung, hal ini membolehkan Zahiran dan rakan-rakannya mengenali Pak Tua dengan lebih dekat.  Mereka mendapati Pak Tua bukanlah seperti yang dianggap oleh orang kampung.
Puncak
Hamzah telah diserang penyakit demam kuning yang boleh membawa maut.  Penyakit demam kuning berpunca daripada gigitan nyamuk  aedes aegypti.  Pak Tua menyarankan Hamzah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.  Rentetan daripada peristiwa itu, gotong-royong membersihkan kawasan rumah Hamzah dan sekitar  kampung dijalankan.
Peleraian
Pak Tua berhasrat untuk membantu Pak Hamid yang menderita penyakit untut akibat gigitan nyamuk culex SP.   Pak Tua mencadangkan penubuhan Tabung Pak Hamid untuk tujuan rawatan.  Manakala, Zahiran berjaya mencungkil latar belakang kehidupan Pak Tua.  Sebelum meninggal dunia, Pak Tua telah mewakafkan tanahnya di Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan. 

Teknik Plot
1.    Dialog
Contoh:  “Kenapa dengan jip pak cik?”  Zahiran mengulangi.
                      “Tayarnya pancit!” ujar Pak Tua sambil mengeluh panjang.
2.    Imbas kembali
      Contoh:  Zahiran terkenang akan kisah Pak Tua setiap kali dia memandang Bukit    
                     Bintangor.
                     PakTua telah menceritakan kisah kehidupannya kepada Zahiran.
3.    Suspens
      Contoh:  Pembaca tertanya-tanya apakah yang berlaku apabila kelihatan asap      
                     tebal keluar dari pucuk-pucuk hutan di Bukit Bintangor.
4.    Kejutan
      Contoh:  Zahiran mengetahui latar belakang kehidupan Pak Tua.  Dia terkejut      
                     apabila mengetahui bahawa Pak Tua ialah saintis yang pernah    
                     bertugas di Chicago, Amerika.
5.    Pemerian
      Contoh:  Bukit yang tersergam megah, menghijau di hujung kampung.  Kampung Alor Rambai, Sungai Jeneri, Jeniang itu banyak kisahnya, terselit suka terpalit duka perjuangan seorang tua.

Watak dan Perwatakan 
Watak Utama
Zahiran
Ø  Anak yatim (bapanya telah meninggal dunia semasa ia berusia 10 tahun).
Ø  Pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai.
Ø  Seorang yang baik hati (membantu Pak Tua menukar tayar jip yang pancit).
Ø  Menjadi ketua kumpulan mencari burung bagi menjayakan projek sekolah lestari.
Ø  Seorang yang mencintai alam sekitar – dia sedar manusia mempunyai hubungan yang rapat dengan alam sekitar.
Ø  Dapat menguasai nama saintifik beberapa jenis pokok (belajar daripada Pak Tua).
Ø  Menjalinkan hubungan erat dengan Pak Tua.
Ø  Berjaya mengikis anggapan orang kampung terhadap Pak Tua.
Ø  Bertanggungjawab.  Zahiran melaksanakan tugasan yang diarahkan seperti mencari burung.
Ø  Rajin berusaha.  Zahiran rajin mengulangkaji pelajarannya dan mempelajari nama-nama saintifik pokok daripada Pak Tua.
Ø  Bijak.  Zahiran bijak hingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Melaka di Londang.
Ø  Bercita-cita untuk menjadi seorang saintis seperti Pak Tua.

Watak Sampingan
Pak Tua
Ø  Berusia dalam lingkungan 60-an.
Ø  Pendiam, selekeh, suka memencilkan diri, tidak mudah mesra.
Ø  Hidup bersendirian di sebuah pondok kayu.
Ø  Seorang saintis (Profesor Osman Yunus).
Ø  Pernah bertugas di Chichago, Amerika Syarikat.
Ø  Berharta (mampu membeli 4 hektar tanah di Bukit Bintangor).
Ø  Amat cinta akan alam sekitar.
Ø  Seorang yang berpengetahuan luas dalam banyak perkara – mengetahui tentang punca penyakit untut yang disebabkan bawaan nyamuk, kegunaan pokok-pokok untuk tujuan perubatan.
Ø  Menguasai nama saintifik pokok-pokok.
Ø  Banyak idea bernas  - beliau mencetuskan idea penubuhan Tabung Pak Hamid bagi membantu  mengubati penyakitnya).
Ø  Seorang yang pemurah - mewakafkan Bukit Bintangor untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.

Cikgu Idham
Ø  Pengetua baharu di SMK Alor Rambai.
Ø  Mengajarkan mata pelajaran Sains Pertanian.
Ø  Berusia dalam lingkungan 45 tahun.
Ø  Kreatif dan banyak idea.
Ø  Memperkenalkan Kempen Amalan Hijau Sekolah dan kitar semula.
Ø  Mencetuskan idea menceriakan kawasan sekolah dan mengadakan projek sekolah lestari.
Ø  Berfikiran terbuka dan mudah menerima idea Pak Tua untuk bergotong-royong membersihkan kampung serta menubuhkan Tabung Pak Hamid.



Latar
Latar Masa
Ø  Sekitar tahun 1990-an (buktinya kajian mencari ubat penyakit HIV dan adanya
          pertandingan Sekolah Lestari).
 Ø  Peristiwa berlaku pada waktu pagi, petang dan malam
Contoh peristiwa :
i)   Pagi – Zahiran pergi ke Bukit Bintangor untuk berjumpa dan mengenali Pak Tua               dengan lebih rapat.
ii)  Petang – Zahiran pergi ke kedai runcit Pak Long Hamad dan dalam perjalanan dia           melihat banyak tumbuhan hijau yang telah dikenalinya.
iii) Malam – Selepas sembahyang Isyak penduduk kampung telah berbincang tentang          cadangan Pak Tua menubuhkan tabung kutipan derma bagi membantu mengubati                penyakit Pak  Hamid.

 Latar Tempat
Ø  Kampung Alor Rambai
        Secara keseluruhannya, kebanyakan peristiwa berlaku di Kampung Alor Rambai.
Ø  Bukit Bintangor
Pak Tua telah menanam pokok bintangor yang hanya terdapat di belantara Sarawak.
Ø  Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Rambai
        Cikgu Idham memperkenalkan Kempen Amalan Hijau Sekolah.
Ø  Pondok Pak Tua di kaki Bukit Bintangor
        Pak Tua hidup bersendirian di pondok kayu di bukit itu.
Ø  Kedai Runcit Pak Long Hamad
       Setiap awal bulan, Pak Tua akan ke kedai runcit Pak Long Hamad untuk membeli barang-barang keperluan dapur.
Ø  Rumah Hamzah
       Pak Tua dan Zahiran mengunjungi rumah Hamzah untuk  melawatnya yang sedang demam.
Ø  Hadapan rumah Zahiran
       Pak Tua menengking Zahiran yang sedang menebang pokok cempaka putih di hadapan rumahnya.
Ø  Sungai Jeneri
       Sewaktu musim hujan lebat, Sungai Jeneri akan dilimpahi air deras dan berbahaya.

Latar Masyarakat
Ø  Masyarakat kampung yang suka membuat fitnah.
Contoh:  Seleman, Setopa dan Kasa menyebarkan fitnah bahawa Pak Tua terlibat dalam kegiatan haram memproses dadah untuk diedarkan ke bandar-bandar besar seluruh negara.
Ø  Masyarakat pendidik yang berwawasan.
Contoh:  Cikgu Idham ialah guru yang berwawasan untuk merealisasikan impian pelajar Modal Insan Berdisiplin dan Sekolah Mesra Alam Lestari.
Ø  Masyarakat pelajar yang rajin dan bertanggungjawab.
Contoh:  Zahiran, Kadir, Hamzah dan rakan-rakannya yang lain rajin dan bertanggungjawab mencari pokok bunga, ikan dan burung yang diamanahkan kepada mereka.
Ø  Masyarakat saintis yang membuat uji kaji tentang penawar penyakit.
Contoh:  Profesor Osman Yunus bersama dengan beberapa orang pakar botani membuat penyelidikan dan berjaya menghasilkan penawar HIV.





Gaya Bahasa




Diksi
Ø  Penggunaan kata yang mudah difahami.

Ø  Penggunaan istilah-istilah saintifik. 
            Contoh:  atmosfera, biodiversiti, bronchitis, farmakologi, sintesis dan virus.

Ø  Penggunaan bahasa pinjaman Bahasa Arab.  Contoh:  madrasah.

Ø  Penggunaan bahasa Inggeris. Contoh:  mosquito.

Ø  Penggunaan dialek.
Contoh:  benak (bertempiaran), ceridau (kicauan), jerba (terkam/terpa), mengeluyur (keadaan tidak keruan/merayau-rayau), terkelih (terlihat) dan upar (menggentel tapak tangan).







Penggunaan Ayat
 Ø  Penggunaan ayat yang pendek.  Contoh:  Pagi berkabus.

Ø  Penggunaan ayat yang panjang.  Contoh:  Di pinggir bukit yang kaya dengan
pokok-pokok pelbagai jenis mengalir Sungai Jeneri, tempat bermain seluang, baung, sempilai, haruan, kenjeng, lais, betuk, bujuk, tapah dan kedak.

Bahasa Perbandingan
Ø  Simile.
            Contoh:  seperti penceramah Forum Perdana (m.s: 11), terkenal macam Datuk Azhar Mansur (m.s: 39), Pandai betul kamu buat lawak ye!                                                                                                        
Macam Senario dalam TV3 (m.s: 41)

Penggunaan imej alam
Contoh:  sungai, bukit, pokok, ikan, burung, hutan balak, hutan belantara dan nyamuk.

Sinkope
Contoh:  tak, ni, nak, dah, dan, tu.
   
Personifikasi
Contoh:  mesra dengan hujan yang menitis, manja dengan belaian angin yang menderu segar, hujan tak bertandang menyuburkan tumbuhan hijau, angin tidak datang mengusap tubuh, sinarnya menjunam di celah-celah daun pokok lalu menimpa tanah, cahaya matahari masih lagi bersembunyi.





Ungkapan Menarik
           

Simpulan Bahasa: tersenyum simpul
           
            Peribahasa: tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ada udang di       sebalik batu

            Bahasa puitis: Semua makhluk ada hubungan yang erat dengan cahaya matahari. Mesra dengan hujan yang menitis dari langit dan manja dengan belaian angin yang menderu segar.
































Nilai


1.    Nilai kasih sayang antara sesama insan.
Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isterinya, Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan tentang penawar HIV.

2.    Nilai tolong-menolong dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya yang pancit.

3.    Nilai kecekalan menghadapi halangan dan rintangan.
Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian anak dan isterinya.

4.    Nilai baik hati.
Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan membelikan barang-barang keperluan dapur.

5.    Nilai bertanggunjawab.
Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap burung dan ikan yang  diamanahkan kepada mereka.

6.    Nilai bekerjasama.
Penduduk Kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

Pak Tua dan rakan-rakan saintisnya bekerjasama menjalankan uji kaji untuk mencari penawar HIV.








 Pengajaran

1.    Kita hendaklah berkasih sayang antara satu sama lain.
      Pak Tua menunjukkan kasih sayang sejati kepada isterinya, Kamariah sehingga dia sanggup membuat penyelidikan tentang penawar HIV.

2.    Kita hendaklah bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara.
Pak Tua dan rakan-rakan saintisnya bekerjasama menjalankan uji kaji untuk mencari penawar HIV.

3.    Kita haruslah menolong orang yang berada dalam kesusahan.
      Zahiran telah menolong Pak Tua menukar tayar keretanya yang pancit. Penduduk    
      Kampung juga telah membantu Pak Hamid dengan mengadakan kutipan derma bagi   
      mengubati penyakitnya.

4.    Kita mestilah cekal apabila menghadapi halangan dan rintangan dalam hidup.
Pak Tua cekal menghadapi dugaan hidup selepas kematian anak dan isterinya.

5.    Kita perlu bersikap baik hati terhadap orang lain.
Pak Tua baik hati terhadap keluarga Zahiran dengan membelikan barang-barang keperluan dapur.

6.    Kita hendaklah bertanggunjawab terhadap amanah yang diberikan.
Zahiran dan rakan-rakannya bertanggungjawab menangkap burung dan ikan
yang diamanahkan kepada mereka.

7.    Kita mestilah menjaga kebersihan kawasan persekitaran pada setiap masa.
Penduduk Kampung Alor Rambai bekerjasama membersihkan kawasan rumah Pak Hamid dan kawasan kampung demi menjaga kebersihan kawasan persekitaran.

9 comments: